Tahukah
anda apa itu mata hati?
Cuba
kalian pejam mata, bayangkan kalimah Basmalah tanpa membuka mushaf al-Quran.
Nampak tak? Atau anda bayangkan rupa bentuk kuih lapis berwarna merah jambu dan
putih. Itulah sedikit sebanyak gambaran mata hati.
Mata hati merupakan mata bagi hati.
Mata hati juga dikatakan sebagai kebolehan mengenal yang dimiliki oleh hati,
yang juga dikenali sebagai qalbu atau batin. Hati yang dimaksudkan pula
ialah rohani atau hati seni, bukan seketul daging yang berada di dalam tubuh.
Mata hati dikategorikan sebagai perkara ghaib yang diistilahkan sebagai Latifah
Rabbaniah atau perkara yang menjadi rahsia ketuhanan. Mata hati juga
memiliki sifat yang berkemampuan mencetuskan pemahaman dan pengetahuan yang
dipanggil akal yang juga tergolong dalam kategori Latifah Rabbaniah yang
tak mampu dihuraikan.
Pandangan mata hati pula ialah satu
pandangan yang disusuli dengan penghayatan, juga merupakan pandangan yang
paling tepat dan hakiki. Hati pada asalnya adalah bersih dan baik. Manusia yang
memandang sesuatu dengan mata hati sebenarnya sedang memandang sesuatu dari
pelbagai dimensi.
Metafora Sebiji Dadu.
Cuba
kita ambil sebiji dadu. Kemudian, campakkan ke atas meja. Dari sudut pandangan
atas, kanan, kiri, depan dan belakang, nilai dadu adalah berbeza. Perbezaan
bilangan bintik pada dadu yang ditunjukkan melambangkan perbezaan nilai.
Begitu juga dengan kehidupan yang
penuh rencam ini. Manusia diuji dengan ujian yang pelbagai bentuk. Ada suka,
ada duka. Ada tangis, ada tawa. Ada ringan, ada berat. Namun, sejauh manakah
pengharapan manusia terhadap Allah, Sang Pemberi Ujian?
Suka untuk saya petik kata-kata dari
seorang ahli sufi yang masyhur, Sheikh Ibn Atha’illah As-Sakandary berkenaan
pengharapan dan
pergantungan manusia kepada Allah SWT :
Maksudnya
: “Setengah dari tanda bahawa seorang itu bersandar diri kepada kekuatan
amal usahanya, iaitu berkurangnya pengharapan terhadap rahmat kurnia Allah
ketika terjadi padanya suatu kesalahan atau dosa.”
Sebagai seorang hamba, perlu untuk
kita mengakui akan kekuasaan Allah dan memohon pengharapan kepada-Nya, kerana
kita adalah hamba. Hamba ini sifatnya lemah. Bergantung harap kepada tuannya
untuk meneruskan kehidupan. Di samping itu, perlu berbakti sepenuh hati kepada
tuannya, tidak kira masa atau ketika. Itulah sifat hamba.
La Ilaha Illalah.
Kalimah
La Ilaha Illallah (tidak ada tuhan melainkan Allah) membawa erti tiada
tempat bersandar, berlindung, berharap kecuali Allah, tidak ada yang
menghidupkan dan mematikan, tiada yang memberi dan menolak melainkan Allah.
Secara zohirnya, syariat menyuruh kita berusaha dan beramal, sedangkan hakikat
kepada syariat itu melarang kita menyandarkan diri kepada amal usaha itu
sehingga kta tetap bersandar kepada kurnia rahmat Allah SWT.
La Hawla Wa La Quwwata Illa Billah.
Kalimah
La Hawla Wa La Quwwata Illa Billah (tiada daya dan upaya melainkan
dengan pertolongan Allah) secara hakikatnya memberi makna bahawa manusia tidak
mempunyai daya dan upaya untuk mengelakkan diri dari bahaya kesalahan, dan
tiada kekuatan untuk berbuat amal kebaikan kecuali hanya dengan izin, bantuan
dan pertolongan Allah SWT semata-mata. Firman Allah SWT di dalam surah Yunus
ayat 58 :
قُلۡ بِفَضۡلِ ٱللَّهِ وَبِرَحۡمَتِهِۦ
فَبِذَٰلِكَ فَلۡيَفۡرَحُواْ هُوَ خَيۡرٞ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ ٥٨
[سورة يونس,٥٨]
Terjemahan
: Katakanlah (Wahai Muhammad) "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata
Dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka Dengan isi kandungan
Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan Dengan Yang lainnya),
kerana ia lebih baik daripada apa Yang mereka himpunkan dari Segala benda dan
perkara Yang tidak kekal)".
Manusia yang bersandar pada amal
usaha itu bererti lupa pada kurnia dan rahmat Allah yang memberi taufiq dan
hidayah kepadanya, yang akhirnya pasti ia akan berasa ujub, sombong, berasa
sempurna diri, sebagaimana yang telah berlaku kepada iblis ketika dia
diperintahkan bersujud kepada Adam. Iblis berkata :
"انا خير منه"
Maksudnya
: Aku lebih baik dari dia (Adam).
Begitu
juga yang terjadi kepada Qarun ketika dia berkata :
قَالَ إِنَّمَآ
أُوتِيتُهُۥ عَلَىٰ عِلۡمٍ عِندِيٓۚ أَوَ لَمۡ يَعۡلَمۡ أَنَّ ٱللَّهَ قَدۡ
أَهۡلَكَ مِن قَبۡلِهِۦ مِنَ ٱلۡقُرُونِ مَنۡ هُوَ أَشَدُّ مِنۡهُ قُوَّةٗ
وَأَكۡثَرُ جَمۡعٗاۚ وَلَا يُسَۡٔلُ عَن ذُنُوبِهِمُ ٱلۡمُجۡرِمُونَ ٧٨ [سورة
القصص,٧٨]
Terjemahan
: Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini
hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian Yang ada padaku". (Kalaulah
Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, Bahawa Allah
telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat Yang telah lalu, orang-orang Yang
lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? dan
(ingatlah) orang-orang Yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya
tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).
Pandang Ujian dari Pelbagai Dimensi.
Seperti
contoh dadu yang saya bawakan sebentar tadi, perlu untuk kita memandang ujian
dari pelbagai dimensi.
Dimensi
1: Ujian Tanda Allah Kasihkan Hamba.
Sebagai
manusia yang memiliki iman dan akal, perlu untuk kita merenung dan memandang
ujian yang datang sebagai tanda kasih dari Allah. Allah sengaja menghadirkan
ujian kepada hambaNya yang terpilih agar hambaNya mengadu dan bermunajat
kepadaNya. Allah sedang merindui rintihan dari hambaNya. Anggaplah ujian yang
datang sebagai bingkisan cinta dari Allah SWT yang Maha Kasih.
Dimensi
2 : Ujian Sebagai Penghapus Dosa
Ujian
merupakan satu bentuk alat untuk menghapuskan dosa-dosa manusia. Apabila
seeorang yang ditimpa ujian meredhai ujian tersebut lalu bersyukur, maka Allah
akan menggugurkan dosa-dosa mereka.....
Dimensi
3 : Ujian Sebagai Proses Tazkiyyah An-Nafs (Pembersihan Jiwa).
Manusia
yang sedang ditimpa ujian perlu menganggap ujian itu sebagai wasilah untuk
menyucikan hati. Manusia yang ingin mejadi lebih baik perlu melalui proses
penyucian hati. Hal ni akan mendorong manusia untuk sentiasa bersyukur, membuat
refleksi ke atas diri, dan membentuk
akhlak diri seterusnya membina masyarakat yang cemerlang sahsiah diri dan hati.
Al-Qaradhawi pernah berkata bahawa untuk membentuk sesebuah tamadun, perlu
bermula daripada pembentukan akhlak.
Dimensi
4 : Ujian Sebagai Tanda Kita Adalah Hamba
Mari
kita fikir sejenak. Ujian yang Allah turunkan sebenarnya sebagai tanda yang
kita ini adalah hamba yang tidak berdaya. Allah ingin manusia sedar bahawa
manusia perlu menghambakan diri kepada Allah Azza Wa Jalla.....
Konklusi
Ujian
merupakan salah satu wasilah untuk menguji keimanan manusia. Apabila kita
dilarang menyekutukan Allah dengan berhala batu, kayu, pohon, binatang dan
manusia, maka janganlah kita menyekutukan Allah dengan kekuatan diri sendiri,
seolah-olah merasa sudah cukup kuat dan dapat berdiri sendiri tanpa bantuan dan
pertolongan daripada Allah, tanpa rahmat, taufiq dan hidayah serta kurniaan
Allah. Seharusnya kita perlu teladani Nabi Sulaiman Alaihi As-Salam ketika
baginda menerima limpah kurnia daripada Allah dan ketika mendapat istana Ratu
Balqis. Sebagaimana firman Allah Taala di dalam surah An-Naml ayat 40 :
قَالَ ٱلَّذِي عِندَهُۥ
عِلۡمٞ مِّنَ ٱلۡكِتَٰبِ أَنَا۠ ءَاتِيكَ بِهِۦ قَبۡلَ أَن يَرۡتَدَّ إِلَيۡكَ
طَرۡفُكَۚ فَلَمَّا رَءَاهُ مُسۡتَقِرًّا عِندَهُۥ قَالَ هَٰذَا مِن فَضۡلِ رَبِّي
لِيَبۡلُوَنِيٓ ءَأَشۡكُرُ أَمۡ أَكۡفُرُۖ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشۡكُرُ لِنَفۡسِهِۦۖ
وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيّٞ كَرِيمٞ ٤٠ [سورة النمل,٤٠]
Terjemahan
: berkata pula seorang Yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah:
"Aku akan membawakannya kepadamu Dalam sekelip mata!" setelah Nabi
Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisiNya, berkatalah ia: "Ini
ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku Adakah Aku bersyukur atau Aku
tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. dan (sebenarnya) sesiapa Yang bersyukur
maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan
sesiapa Yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana
Sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah".
Oleh itu, bumikan hati agar kita
menyedari hakikat seorang hamba yang serba lemah. Kita juga perlu menyedari
bahawa segala kekuatan menempuh ujian itu datangnya dari Allah Azza wa Jalla. Pandanglah
dengan pandangan mata hati, kerana ia akan menyuluh jalan untuk kamu terus
berada di atas landasan Tuhan.
Sumber Rujukan :
1. Kitab terjemahan al-Hikam, karya Skeikh Ibn Atha'illah As-Sakandary.
2. laman Web Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman.
Sumber Rujukan :
1. Kitab terjemahan al-Hikam, karya Skeikh Ibn Atha'illah As-Sakandary.
2. laman Web Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman.
-Sundus El-Jauhari-
No comments:
Post a Comment