create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!
widgets

Friday, July 18, 2014

Rona Itu Palsu Duniawi

Sengaja ku menanti
Rona cinta mekar bersemi
Sengaja ku menanti
Citra nurani merajai hati
Namun,
Sendiri ku terpinggir
Sendiri ku tersisih
Kerana rona-rona itu palsu duniawi
Sangka ku mentari berlabuh lagi
Nyata dinihari masih menyinggah alam buana ini
Aku hanya bagaikan seekor semut
Yang perlu tegar meneruskan jalan hidup ini
Patah sayap ini
Setelah jatuh dari terbang tinggi
Kan ku ubati luka ini
Agar bisa aku terbang kembali
Kan ku lebur memori
kan ku hapus dalam mimpi
Aku mahu mendung itu berarak pergi
Jangan biarkan mendung beraja di hati
Biarkan cinta-Nya memenuhi relung hati
Kerana cinta-Nya tak pernah menghampa hati.
-Sundus El-Jauhari-



Sunday, July 13, 2014

Pandangan Mata Hati

Tahukah anda apa itu mata hati?

Cuba kalian pejam mata, bayangkan kalimah Basmalah tanpa membuka mushaf al-Quran. Nampak tak? Atau anda bayangkan rupa bentuk kuih lapis berwarna merah jambu dan putih. Itulah sedikit sebanyak gambaran mata hati.

            Mata hati merupakan mata bagi hati. Mata hati juga dikatakan sebagai kebolehan mengenal yang dimiliki oleh hati, yang juga dikenali sebagai qalbu atau batin. Hati yang dimaksudkan pula ialah rohani atau hati seni, bukan seketul daging yang berada di dalam tubuh. Mata hati dikategorikan sebagai perkara ghaib yang diistilahkan sebagai Latifah Rabbaniah atau perkara yang menjadi rahsia ketuhanan. Mata hati juga memiliki sifat yang berkemampuan mencetuskan pemahaman dan pengetahuan yang dipanggil akal yang juga tergolong dalam kategori Latifah Rabbaniah yang tak mampu dihuraikan.

            Pandangan mata hati pula ialah satu pandangan yang disusuli dengan penghayatan, juga merupakan pandangan yang paling tepat dan hakiki. Hati pada asalnya adalah bersih dan baik. Manusia yang memandang sesuatu dengan mata hati sebenarnya sedang memandang sesuatu dari pelbagai dimensi.

Metafora Sebiji Dadu.

Cuba kita ambil sebiji dadu. Kemudian, campakkan ke atas meja. Dari sudut pandangan atas, kanan, kiri, depan dan belakang, nilai dadu adalah berbeza. Perbezaan bilangan bintik pada dadu yang ditunjukkan melambangkan perbezaan nilai.

            Begitu juga dengan kehidupan yang penuh rencam ini. Manusia diuji dengan ujian yang pelbagai bentuk. Ada suka, ada duka. Ada tangis, ada tawa. Ada ringan, ada berat. Namun, sejauh manakah pengharapan manusia terhadap Allah, Sang Pemberi Ujian?

            Suka untuk saya petik kata-kata dari seorang ahli sufi yang masyhur, Sheikh Ibn Atha’illah As-Sakandary berkenaan pengharapan dan pergantungan manusia kepada Allah SWT :
Maksudnya : “Setengah dari tanda bahawa seorang itu bersandar diri kepada kekuatan amal usahanya, iaitu berkurangnya pengharapan terhadap rahmat kurnia Allah ketika terjadi padanya suatu kesalahan atau dosa.”

            Sebagai seorang hamba, perlu untuk kita mengakui akan kekuasaan Allah dan memohon pengharapan kepada-Nya, kerana kita adalah hamba. Hamba ini sifatnya lemah. Bergantung harap kepada tuannya untuk meneruskan kehidupan. Di samping itu, perlu berbakti sepenuh hati kepada tuannya, tidak kira masa atau ketika. Itulah sifat hamba.

La Ilaha Illalah.

Kalimah La Ilaha Illallah (tidak ada tuhan melainkan Allah) membawa erti tiada tempat bersandar, berlindung, berharap kecuali Allah, tidak ada yang menghidupkan dan mematikan, tiada yang memberi dan menolak melainkan Allah. Secara zohirnya, syariat menyuruh kita berusaha dan beramal, sedangkan hakikat kepada syariat itu melarang kita menyandarkan diri kepada amal usaha itu sehingga kta tetap bersandar kepada kurnia rahmat Allah SWT.

La Hawla Wa La Quwwata Illa Billah.

Kalimah La Hawla Wa La Quwwata Illa Billah (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah) secara hakikatnya memberi makna bahawa manusia tidak mempunyai daya dan upaya untuk mengelakkan diri dari bahaya kesalahan, dan tiada kekuatan untuk berbuat amal kebaikan kecuali hanya dengan izin, bantuan dan pertolongan Allah SWT semata-mata. Firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 58 :
قُلۡ بِفَضۡلِ ٱللَّهِ وَبِرَحۡمَتِهِۦ فَبِذَٰلِكَ فَلۡيَفۡرَحُواْ هُوَ خَيۡرٞ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ ٥٨
[سورة يونس,٥٨]
Terjemahan : Katakanlah (Wahai Muhammad) "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata Dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka Dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan Dengan Yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa Yang mereka himpunkan dari Segala benda dan perkara Yang tidak kekal)".

            Manusia yang bersandar pada amal usaha itu bererti lupa pada kurnia dan rahmat Allah yang memberi taufiq dan hidayah kepadanya, yang akhirnya pasti ia akan berasa ujub, sombong, berasa sempurna diri, sebagaimana yang telah berlaku kepada iblis ketika dia diperintahkan bersujud kepada Adam. Iblis berkata :

"انا خير منه"
Maksudnya : Aku lebih baik dari dia (Adam).

Begitu juga yang terjadi kepada Qarun ketika dia berkata :


قَالَ إِنَّمَآ أُوتِيتُهُۥ عَلَىٰ عِلۡمٍ عِندِيٓۚ أَوَ لَمۡ يَعۡلَمۡ أَنَّ ٱللَّهَ قَدۡ أَهۡلَكَ مِن قَبۡلِهِۦ مِنَ ٱلۡقُرُونِ مَنۡ هُوَ أَشَدُّ مِنۡهُ قُوَّةٗ وَأَكۡثَرُ جَمۡعٗاۚ وَلَا يُسۡ‍َٔلُ عَن ذُنُوبِهِمُ ٱلۡمُجۡرِمُونَ ٧٨ [سورة القصص,٧٨]

Terjemahan : Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian Yang ada padaku". (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, Bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat Yang telah lalu, orang-orang Yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? dan (ingatlah) orang-orang Yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).

Pandang Ujian dari Pelbagai Dimensi.

Seperti contoh dadu yang saya bawakan sebentar tadi, perlu untuk kita memandang ujian dari pelbagai dimensi.

Dimensi 1: Ujian Tanda Allah Kasihkan Hamba.

Sebagai manusia yang memiliki iman dan akal, perlu untuk kita merenung dan memandang ujian yang datang sebagai tanda kasih dari Allah. Allah sengaja menghadirkan ujian kepada hambaNya yang terpilih agar hambaNya mengadu dan bermunajat kepadaNya. Allah sedang merindui rintihan dari hambaNya. Anggaplah ujian yang datang sebagai bingkisan cinta dari Allah SWT yang Maha Kasih.

Dimensi 2 : Ujian Sebagai Penghapus Dosa

Ujian merupakan satu bentuk alat untuk menghapuskan dosa-dosa manusia. Apabila seeorang yang ditimpa ujian meredhai ujian tersebut lalu bersyukur, maka Allah akan menggugurkan dosa-dosa mereka.....

Dimensi 3 : Ujian Sebagai Proses Tazkiyyah An-Nafs (Pembersihan Jiwa).

Manusia yang sedang ditimpa ujian perlu menganggap ujian itu sebagai wasilah untuk menyucikan hati. Manusia yang ingin mejadi lebih baik perlu melalui proses penyucian hati. Hal ni akan mendorong manusia untuk sentiasa bersyukur, membuat refleksi ke atas diri,  dan membentuk akhlak diri seterusnya membina masyarakat yang cemerlang sahsiah diri dan hati. Al-Qaradhawi pernah berkata bahawa untuk membentuk sesebuah tamadun, perlu bermula daripada pembentukan akhlak.

Dimensi 4 : Ujian Sebagai Tanda Kita Adalah Hamba

Mari kita fikir sejenak. Ujian yang Allah turunkan sebenarnya sebagai tanda yang kita ini adalah hamba yang tidak berdaya. Allah ingin manusia sedar bahawa manusia perlu menghambakan diri kepada Allah Azza Wa Jalla.....

Konklusi

Ujian merupakan salah satu wasilah untuk menguji keimanan manusia. Apabila kita dilarang menyekutukan Allah dengan berhala batu, kayu, pohon, binatang dan manusia, maka janganlah kita menyekutukan Allah dengan kekuatan diri sendiri, seolah-olah merasa sudah cukup kuat dan dapat berdiri sendiri tanpa bantuan dan pertolongan daripada Allah, tanpa rahmat, taufiq dan hidayah serta kurniaan Allah. Seharusnya kita perlu teladani Nabi Sulaiman Alaihi As-Salam ketika baginda menerima limpah kurnia daripada Allah dan ketika mendapat istana Ratu Balqis. Sebagaimana firman Allah Taala di dalam surah An-Naml ayat 40 :

قَالَ ٱلَّذِي عِندَهُۥ عِلۡمٞ مِّنَ ٱلۡكِتَٰبِ أَنَا۠ ءَاتِيكَ بِهِۦ قَبۡلَ أَن يَرۡتَدَّ إِلَيۡكَ طَرۡفُكَۚ فَلَمَّا رَءَاهُ مُسۡتَقِرًّا عِندَهُۥ قَالَ هَٰذَا مِن فَضۡلِ رَبِّي لِيَبۡلُوَنِيٓ ءَأَشۡكُرُ أَمۡ أَكۡفُرُۖ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشۡكُرُ لِنَفۡسِهِۦۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيّٞ كَرِيمٞ ٤٠ [سورة النمل,٤٠]

Terjemahan : berkata pula seorang Yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu Dalam sekelip mata!" setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisiNya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku Adakah Aku bersyukur atau Aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. dan (sebenarnya) sesiapa Yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa Yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana Sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah".


            Oleh itu, bumikan hati agar kita menyedari hakikat seorang hamba yang serba lemah. Kita juga perlu menyedari bahawa segala kekuatan menempuh ujian itu datangnya dari Allah Azza wa Jalla. Pandanglah dengan pandangan mata hati, kerana ia akan menyuluh jalan untuk kamu terus berada di atas landasan Tuhan. 

Sumber Rujukan :

1. Kitab terjemahan al-Hikam, karya Skeikh Ibn Atha'illah As-Sakandary. 
2. laman Web Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman.


-Sundus El-Jauhari-