create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!
widgets

Monday, December 22, 2014

Angin Laut China Selatan

Aku melihat ombak terlalu rakus memamah pantai...
Aku juga merasakan deruan kencang angin Laut China Selatan menggegar atap rumah...
Pohon kelapa nan tinggi meliuk lentuk mengikut arahan angin...
Banyak tanah sudah dipenuhi air bah...
Aku sedar...
Allah sedang menunjukkan kekuasaanNya...
Allah sengaja menunjukkan kebesaran-Nya...
Agar kita kembali mengikuti jalan-Nya...
Agar kita berpijak di bumi nyata...
Agar kita tidak terlalu rakus terhadap dunia...
Tidakkah kau sedar, bahawa kita hanya hamba kerdil yang tidak berdaya?
Bangkitlah dari lena yang panjang...
Bangunlah dari ulitan mimpi yang menjajah jiwa...
Kembalilah kepada Islam yang mulia...
Ingatlah...
Allah masih membuka ruang keampunan seluas-luasnya...

-Sundus El-Jauhari-


Saturday, December 20, 2014

Mentari Muncul Lagi

Ku mencari kelibat sang mentari...
Akhirnya dia muncul jua...
Barangkali dia menyembunyikan diri buat seketika cuma...
Butuh waktu untuk memberikan yang terbaik untuk manusia...
Sesuai dengan perintah-Nya....



Friday, July 18, 2014

Rona Itu Palsu Duniawi

Sengaja ku menanti
Rona cinta mekar bersemi
Sengaja ku menanti
Citra nurani merajai hati
Namun,
Sendiri ku terpinggir
Sendiri ku tersisih
Kerana rona-rona itu palsu duniawi
Sangka ku mentari berlabuh lagi
Nyata dinihari masih menyinggah alam buana ini
Aku hanya bagaikan seekor semut
Yang perlu tegar meneruskan jalan hidup ini
Patah sayap ini
Setelah jatuh dari terbang tinggi
Kan ku ubati luka ini
Agar bisa aku terbang kembali
Kan ku lebur memori
kan ku hapus dalam mimpi
Aku mahu mendung itu berarak pergi
Jangan biarkan mendung beraja di hati
Biarkan cinta-Nya memenuhi relung hati
Kerana cinta-Nya tak pernah menghampa hati.
-Sundus El-Jauhari-



Sunday, July 13, 2014

Pandangan Mata Hati

Tahukah anda apa itu mata hati?

Cuba kalian pejam mata, bayangkan kalimah Basmalah tanpa membuka mushaf al-Quran. Nampak tak? Atau anda bayangkan rupa bentuk kuih lapis berwarna merah jambu dan putih. Itulah sedikit sebanyak gambaran mata hati.

            Mata hati merupakan mata bagi hati. Mata hati juga dikatakan sebagai kebolehan mengenal yang dimiliki oleh hati, yang juga dikenali sebagai qalbu atau batin. Hati yang dimaksudkan pula ialah rohani atau hati seni, bukan seketul daging yang berada di dalam tubuh. Mata hati dikategorikan sebagai perkara ghaib yang diistilahkan sebagai Latifah Rabbaniah atau perkara yang menjadi rahsia ketuhanan. Mata hati juga memiliki sifat yang berkemampuan mencetuskan pemahaman dan pengetahuan yang dipanggil akal yang juga tergolong dalam kategori Latifah Rabbaniah yang tak mampu dihuraikan.

            Pandangan mata hati pula ialah satu pandangan yang disusuli dengan penghayatan, juga merupakan pandangan yang paling tepat dan hakiki. Hati pada asalnya adalah bersih dan baik. Manusia yang memandang sesuatu dengan mata hati sebenarnya sedang memandang sesuatu dari pelbagai dimensi.

Metafora Sebiji Dadu.

Cuba kita ambil sebiji dadu. Kemudian, campakkan ke atas meja. Dari sudut pandangan atas, kanan, kiri, depan dan belakang, nilai dadu adalah berbeza. Perbezaan bilangan bintik pada dadu yang ditunjukkan melambangkan perbezaan nilai.

            Begitu juga dengan kehidupan yang penuh rencam ini. Manusia diuji dengan ujian yang pelbagai bentuk. Ada suka, ada duka. Ada tangis, ada tawa. Ada ringan, ada berat. Namun, sejauh manakah pengharapan manusia terhadap Allah, Sang Pemberi Ujian?

            Suka untuk saya petik kata-kata dari seorang ahli sufi yang masyhur, Sheikh Ibn Atha’illah As-Sakandary berkenaan pengharapan dan pergantungan manusia kepada Allah SWT :
Maksudnya : “Setengah dari tanda bahawa seorang itu bersandar diri kepada kekuatan amal usahanya, iaitu berkurangnya pengharapan terhadap rahmat kurnia Allah ketika terjadi padanya suatu kesalahan atau dosa.”

            Sebagai seorang hamba, perlu untuk kita mengakui akan kekuasaan Allah dan memohon pengharapan kepada-Nya, kerana kita adalah hamba. Hamba ini sifatnya lemah. Bergantung harap kepada tuannya untuk meneruskan kehidupan. Di samping itu, perlu berbakti sepenuh hati kepada tuannya, tidak kira masa atau ketika. Itulah sifat hamba.

La Ilaha Illalah.

Kalimah La Ilaha Illallah (tidak ada tuhan melainkan Allah) membawa erti tiada tempat bersandar, berlindung, berharap kecuali Allah, tidak ada yang menghidupkan dan mematikan, tiada yang memberi dan menolak melainkan Allah. Secara zohirnya, syariat menyuruh kita berusaha dan beramal, sedangkan hakikat kepada syariat itu melarang kita menyandarkan diri kepada amal usaha itu sehingga kta tetap bersandar kepada kurnia rahmat Allah SWT.

La Hawla Wa La Quwwata Illa Billah.

Kalimah La Hawla Wa La Quwwata Illa Billah (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah) secara hakikatnya memberi makna bahawa manusia tidak mempunyai daya dan upaya untuk mengelakkan diri dari bahaya kesalahan, dan tiada kekuatan untuk berbuat amal kebaikan kecuali hanya dengan izin, bantuan dan pertolongan Allah SWT semata-mata. Firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 58 :
قُلۡ بِفَضۡلِ ٱللَّهِ وَبِرَحۡمَتِهِۦ فَبِذَٰلِكَ فَلۡيَفۡرَحُواْ هُوَ خَيۡرٞ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ ٥٨
[سورة يونس,٥٨]
Terjemahan : Katakanlah (Wahai Muhammad) "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata Dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka Dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan Dengan Yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa Yang mereka himpunkan dari Segala benda dan perkara Yang tidak kekal)".

            Manusia yang bersandar pada amal usaha itu bererti lupa pada kurnia dan rahmat Allah yang memberi taufiq dan hidayah kepadanya, yang akhirnya pasti ia akan berasa ujub, sombong, berasa sempurna diri, sebagaimana yang telah berlaku kepada iblis ketika dia diperintahkan bersujud kepada Adam. Iblis berkata :

"انا خير منه"
Maksudnya : Aku lebih baik dari dia (Adam).

Begitu juga yang terjadi kepada Qarun ketika dia berkata :


قَالَ إِنَّمَآ أُوتِيتُهُۥ عَلَىٰ عِلۡمٍ عِندِيٓۚ أَوَ لَمۡ يَعۡلَمۡ أَنَّ ٱللَّهَ قَدۡ أَهۡلَكَ مِن قَبۡلِهِۦ مِنَ ٱلۡقُرُونِ مَنۡ هُوَ أَشَدُّ مِنۡهُ قُوَّةٗ وَأَكۡثَرُ جَمۡعٗاۚ وَلَا يُسۡ‍َٔلُ عَن ذُنُوبِهِمُ ٱلۡمُجۡرِمُونَ ٧٨ [سورة القصص,٧٨]

Terjemahan : Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian Yang ada padaku". (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, Bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat Yang telah lalu, orang-orang Yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? dan (ingatlah) orang-orang Yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).

Pandang Ujian dari Pelbagai Dimensi.

Seperti contoh dadu yang saya bawakan sebentar tadi, perlu untuk kita memandang ujian dari pelbagai dimensi.

Dimensi 1: Ujian Tanda Allah Kasihkan Hamba.

Sebagai manusia yang memiliki iman dan akal, perlu untuk kita merenung dan memandang ujian yang datang sebagai tanda kasih dari Allah. Allah sengaja menghadirkan ujian kepada hambaNya yang terpilih agar hambaNya mengadu dan bermunajat kepadaNya. Allah sedang merindui rintihan dari hambaNya. Anggaplah ujian yang datang sebagai bingkisan cinta dari Allah SWT yang Maha Kasih.

Dimensi 2 : Ujian Sebagai Penghapus Dosa

Ujian merupakan satu bentuk alat untuk menghapuskan dosa-dosa manusia. Apabila seeorang yang ditimpa ujian meredhai ujian tersebut lalu bersyukur, maka Allah akan menggugurkan dosa-dosa mereka.....

Dimensi 3 : Ujian Sebagai Proses Tazkiyyah An-Nafs (Pembersihan Jiwa).

Manusia yang sedang ditimpa ujian perlu menganggap ujian itu sebagai wasilah untuk menyucikan hati. Manusia yang ingin mejadi lebih baik perlu melalui proses penyucian hati. Hal ni akan mendorong manusia untuk sentiasa bersyukur, membuat refleksi ke atas diri,  dan membentuk akhlak diri seterusnya membina masyarakat yang cemerlang sahsiah diri dan hati. Al-Qaradhawi pernah berkata bahawa untuk membentuk sesebuah tamadun, perlu bermula daripada pembentukan akhlak.

Dimensi 4 : Ujian Sebagai Tanda Kita Adalah Hamba

Mari kita fikir sejenak. Ujian yang Allah turunkan sebenarnya sebagai tanda yang kita ini adalah hamba yang tidak berdaya. Allah ingin manusia sedar bahawa manusia perlu menghambakan diri kepada Allah Azza Wa Jalla.....

Konklusi

Ujian merupakan salah satu wasilah untuk menguji keimanan manusia. Apabila kita dilarang menyekutukan Allah dengan berhala batu, kayu, pohon, binatang dan manusia, maka janganlah kita menyekutukan Allah dengan kekuatan diri sendiri, seolah-olah merasa sudah cukup kuat dan dapat berdiri sendiri tanpa bantuan dan pertolongan daripada Allah, tanpa rahmat, taufiq dan hidayah serta kurniaan Allah. Seharusnya kita perlu teladani Nabi Sulaiman Alaihi As-Salam ketika baginda menerima limpah kurnia daripada Allah dan ketika mendapat istana Ratu Balqis. Sebagaimana firman Allah Taala di dalam surah An-Naml ayat 40 :

قَالَ ٱلَّذِي عِندَهُۥ عِلۡمٞ مِّنَ ٱلۡكِتَٰبِ أَنَا۠ ءَاتِيكَ بِهِۦ قَبۡلَ أَن يَرۡتَدَّ إِلَيۡكَ طَرۡفُكَۚ فَلَمَّا رَءَاهُ مُسۡتَقِرًّا عِندَهُۥ قَالَ هَٰذَا مِن فَضۡلِ رَبِّي لِيَبۡلُوَنِيٓ ءَأَشۡكُرُ أَمۡ أَكۡفُرُۖ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشۡكُرُ لِنَفۡسِهِۦۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيّٞ كَرِيمٞ ٤٠ [سورة النمل,٤٠]

Terjemahan : berkata pula seorang Yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu Dalam sekelip mata!" setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisiNya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku Adakah Aku bersyukur atau Aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. dan (sebenarnya) sesiapa Yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa Yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana Sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah".


            Oleh itu, bumikan hati agar kita menyedari hakikat seorang hamba yang serba lemah. Kita juga perlu menyedari bahawa segala kekuatan menempuh ujian itu datangnya dari Allah Azza wa Jalla. Pandanglah dengan pandangan mata hati, kerana ia akan menyuluh jalan untuk kamu terus berada di atas landasan Tuhan. 

Sumber Rujukan :

1. Kitab terjemahan al-Hikam, karya Skeikh Ibn Atha'illah As-Sakandary. 
2. laman Web Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman.


-Sundus El-Jauhari-


Friday, June 20, 2014

SELINGKAR KASIH ITU...

Selingkar kasih itu...
Telah meragut sekeping hati...
Selingkar kasih itu...
Telah menghantui mimpi...
Selingkar kasih itu...
Telah merayu rindu...
Moga masih ada ruang buat sekeping hati...
Sekeping hati yang naif lagi daif...
Masih bertatih mencari Nur Tuhan...
Melalui pelbagai jalan...
Moga masih ada ketulusan...
Yang sudi merawat luka sekeping hati...
Hati yang penuh cinta...
Cinta itu membawa luka...
Luka parah yang masih belum bertemu penawarnya.

-Sundus El-Jauhari-

Thursday, June 19, 2014

ARJU...

Tatkala sang hati menanggung kesulitan...
Allah Maha Tahu akan kesulitan itu...
Lalu Allah ingin mengabulkan permintaan hati itu...
Melalui caraNya yang penuh rahsia dan hikmah...
Lalu hati itu pun bersabar...
Hati sentiasa mengharap agar Allah mendengar setiap rintihannya...
Kerana hati merasakan sudah tidak mampu menanggung beban yang sangat berat...
Betapa sengsaranya hati...
Menanggung beban yang tak tertanggung...
Mengharap ketenangan yang belum kunjung tiba...
Bersabarlah wahai hati...
Akan ada kemanisan setelah kau bersabar menanggung kepahitan...
Arju...


Friday, June 13, 2014

CINTA MAJAZI...

Cinta.
Bikin manusia menjadi buta.
Buta mata hatinya.
Mana yang buruk dipandangnya cantik.
Mana yang busuk dikatakan wangi.
Segalanya dipandang baik. 
Waspadalah wahai hati.
Muslimah..
Jangan kau guris luka hatimu dengan duri cinta manusiawi.
Sedarkan dirimu dari pandangan majazi.
Cinta majazi yang melalaikan hati.
Nilailah dengan mata hati.
Agar kau tidak terpedaya dengan cinta ilusi.
Utamakan mana yang hak.
Allah akan beri yang terbaik buat diri.
Bukan mudah menjadi wanita yang mahal harganya.
Kerana ia menuntut pengorbanan yang tiada hadnya.

-Aku ada wali. hormati mereka-


-Sundus El-Jauhari-


Tuesday, June 10, 2014

WANITA....

Wanita...
Memang ada ketikanya kurang akalnya berbanding lelaki...
Ada ketikanya akalnya tewas dengan emosi...
Oleh sebab itu... 
Allah ciptakan lelaki lebih banyak sabar dan berdiam diri... 
Kerana tugasnya sebagai pelengkap terhadap kelemahan dan kekurangan wanita...

Sungguhpun begitu kurangnya wanita...
Mereka tetap punya kelebihan yang telah Allah kurnia...
Wanita penuh dengan kasih dan cinta....
Wanita sebagai pelengkap kepada kekurangan lelaki...
Wanita sebagai sayap kiri sebuah perjuangan hakiki...

Usah kau gusar...
Usah kau ragu...
Masing-masing punya peran yang besar dan jitu...
Membawa panji2 Islam sebagai misi dan halatuju
Demi menggapai redha dan cinta-Mu..

Bangkitlah wahai jiwa...
Teruslah mara menuju tarbiyah diri dan hati...
Agar kau bisa membawa nafas tarbiyah ke "mehwar sya'bi"...


-Sundus El-Jauhari-



Tuesday, March 25, 2014

Bingkisan Cinta Dari Allah.


“Melangkah jauh tanpa arah dan tujuan.. Bumi nan subur ini ku rasakan gersang... Di dalam terang kegelapan seakan ku hanyut di daratan.. Ku ingin pulang ke pangkalan.. Aku tahu Kau selalu bersamaku... Tak sesaat Kau biarku keseorangan.. Tak sesaat pintaku jadi bebanan... Ku percaya kerana doa bertitian tiap waktu... Dengan izin-Mu ku kembali ke pangkalanku....”

            Bait lirik lagu Kerana Doa dendangan munsyideen Nowseeheart benar-benar menyentap sekeping atma ini. Ianya benar-benar membawa manusia untuk mengimaginasikan rencam kehidupan. Perjalanan yang belum ada penghujungnya. Ia juga membawa manusia untuk memikirkan tentang sifat Allah yang Maha Kasih yang tak pernah sekali-kali meninggalkan hamba-hamba-Nya bersendirian menempuhi liku-liku kehidupan. Semua entiti yang bernama manusia mahukan yang terbaik buat diri mereka. Walau bagaimanapun, ada ketikanya manusia yang berjuang tersungkur di pertengahan jalan kerana tersadung kerikil-kerikil ujian yang menghambat kesuma. Ada ketikanya juga manusia terus melangkah tanpa arah dan tujuan. Itu juga ujian. Pada saat itu, manusia terkapai-kapai mencari halatuju untuk sebuah perjalanan.

Perlukah kita mencari halatuju dalam sebuah perjalanan hidup?

Perlukah kita mencari halatuju hidup? Jawapannya, amat perlu. Firman Allah SWT :

$tBur àMø)n=yz £`Ågø:$# }§RM}$#ur žwÎ) Èbrßç7÷èuÏ9 ÇÎÏÈ

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.

(Adz-Dzaariyat ayat 56)
Tujuan kita dijadikan oleh Allah SWT adalah untuk menghambakan diri dan mengakui kebesaran-Nya. Jika pada hari ini kita hidup tiada halatuju, pada akhirnya kita akan kembali kepada fitrah manusia yang ingin bertuhan dan memiliki matlamat hidup yang jelas, iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Pengharapan kepada Sang Pemberi Harapan sebenarnya sudah jelas menunjukkan bahawa kita ini adalah hamba yang tujuan hidupnya adalah mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Harapan.

            Sepenuh pengharapan selayaknya disandarkan kepada Allah Azza Wa Jalla, Tuhan yang memiliki seluruh alam buana ini. Tiap-tiap manusia yang diciptakan oleh Allah SWT memiliki fitrah untuk bertuhan. Tujuannya tetap sama, iaitu berubudiyyah kepada Allah SWT. Sememangnya kita sebagai manusia perlu untuk berharap kepada Allah SWT.

Pada waktu bilakah pengharapan kita begitu tinggi kepada Allah SWT?

            Pada saat dan ketika kita diuji, harapan menggunung tinggi terhadap Allah SWT. Ada segolongan manusia mengharapkan agar keperitan ujian itu diangkat oleh Allah. Ada juga segolongan manusia yang mengharapkan agar Allah mengurniakan ekstra kekuatan kepada mereka agar lebih tabah dan sabar menjalani rencam kehidupan yang belum ada penghujungnya. Setinggi mana pun ego seseorang hamba itu, pada akhirnya, dia akan tewas juga dengan pengharapan kepada Allah. Kerana apa? Kerana itulah fitrah bertuhan yang ada dalam diri manusia.

            Ada sebuah cerita yang mengisahkan tentang sekuntum bunga yang hidup dari celahan batu. Jika direnung dan dilihat secara logik akal, ia adalah suatu yang mustahil! Tetapi, perlu untuk kita sedar, bahawa tiada yang mustahil bagi Allah untuk menjadikan sesuatu yang mustahil kepada realiti. Seperti kisah bunga yang hidup di celahan batu itu, ia adalah salah satu bukti kebesaran Allah. Hal ini sama dengan kondisi hidup yang sarat dengan kesulitan. Sarat dengan ujian yang mencengkam jiwa. Ada ketikanya, manusia berasa mustahil untuk meneruskan hidup yang sebegitu pahit. Tetapi, perlu disedari bahawa tiap-tiap kesulitan itu pasti ada kemudahan. Tiada yang mustahil bagi Allah untuk mewujudkan keajaiban di dalam hidup setiap hamba-hamba-Nya, sesuai dengan firman-Nya di dalam surah as-Syarh ayat 5 hingga 6 :

¨bÎ*sù yìtB ÎŽô£ãèø9$# #·Žô£ç ÇÎÈ ¨bÎ) yìtB ÎŽô£ãèø9$# #ZŽô£ç ÇÏÈ

5.  Kerana Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, 6.  Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.

            Lihat, sebanyak dua kali Allah menegaskan di dalam surah tersebut tentang kesulitan yang akan dibalas dengan kemudahan. Hal ini menjelaskan bahawa tiap-tiap yang berlaku itu pasti ada hikmah tersirat yang sudah Allah sediakan buat para penyemai benih sabar di jiwa mereka. Bercerita tentang hikmah di sebalik ujian, Ibn Atha’illah telah menukilkan di dalam kitab Taj al-‘Arus :

“Dia memberimu sihat, sakit, kaya, miskin, gembira, dan dukacita agar engkau mengenali-Nya dengan seluruh sifat-Nya. Tidaklah Allah memperlihatkan ketaatan, sakit atau rasa memerlukan pada dirimu kecuali untuk mengujimu. Jika engkau ingin diberi berbagai kurnia, luruskan rasa memerlukan dan bimbinglah dirimu sendiri.”

            Begitu tinggi nilai tasawuf yang diinterpretasikan oleh Ibn Atha’illah bagi tatapan generasi pada zamannya dan generasi akan datang. Beliau ingin kita umat manusia agar kembali kepada fitrah bertuhan, iaitu fitrah berharap kepada Allah SWT yang mana pada akhirnya jiwa manusia yang sedang menderita akan dihiasi dengan kuntuman-kuntuman ikhlas, redha dan sabar. Natijahnya, manusia yang bersabar akan Allah tambahkan lagi nikmat ke atas dirinya, sebagai balasan bagi hamba-hamba yang bersyukur dengan nikmat ujian.

Kesimpulan.

            Tuntasnya, sebagai manusia yang memiliki iman dan Islam di dalam diri, kita perlu menyedari tentang satu hal, bahawa segala bentuk ujian yang menerobos masuk ke dalam ruang hidup kita merupakan bingkisan cinta dari Allah. Allah sedang merindui rintihan dan pengharapan dari hamba-hamba yang acapkali melupakan-Nya. Sengaja Dia mengirimkan bingkisan ujian, sebagai tanda cinta-Nya kepada hamba-hamba-Nya. Perlu juga kita sedari bahawa cinta manusia sangat jauh bezanya dengan cinta Allah. Hal ini dapat kita lihat dari bentuk penzahiran cinta itu kepada entiti yang bernama manusia. Manusia menzahirkan rasa cintanya kepada manusia melalui harapan-harapan yang belum tentu terealisasi. Manakala Allah menzahirkan cinta-Nya kepada hamba-hamba-Nya melalui perkara-perkara yang sememangnya berbentuk realiti, sama ada melalui kenikmatan dunia, atau kenikmatan ujian. Jika manusia bersyukur dengan kurniaan Allah, maka akan ditambahkan lagi nikmat ke atas hamba-hambaNya. Tetapi, seandainya manusia kufur dengan nikmat yang diberikan, maka azab siksaan yang pedih bakal menanti kita di alam akhirat nanti, sesuai dengan firman-Nya di dalam Surah Ibrahim ayat 7:

øŒÎ)ur šc©Œr's? öNä3š/u ûÈõs9 óOè?öx6x© öNä3¯RyƒÎV{ ( ûÈõs9ur ÷LäöxÿŸ2 ¨bÎ) Î1#xtã ÓƒÏt±s9 ÇÐÈ

Maksudnya : Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), Maka Sesungguhnya azab-Ku sangat pedih".


Jadi, bersyukur dan bersabarlah dengan ujian yang menimpa. Kerana ia adalah tanda kamu memiliki iman dan kunci kepada peningkatan iman dan pengharapan terhadap Allah SWT.