create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!
widgets

Sunday, June 30, 2013

Perlunya Sedikit Curiga Dalam Berbaik Sangka

Bismillahirrahmanirrahim….

Lokasi : Stesen Bas MBKT(Majlis Bandaraya Kuala Terengganu)
Tarikh : 29 Jun 2013 
Masa : 9.00 pagi

Assalamualaikum…. 

Apa khabar para pembaca semua? Moga kalian senantiasa berada dalam lingkungan rahmat & kasih sayang Allah. Di sini ingin ku kongsikan sedikit pengalaman berkenaan kes tipu menipu dalam kalangan umat Islam itu sendiri! (Serius ni).. Walau bagaimana pun, entri pada kali ini masih tidak lari dari konteks cinta. Cinta itu definisinya sangat luas. Pada kali ini, ingin ku sentuh tentang cinta terhadap saudara muslim yang lain. Penatku belum hilang lagi, tapi tetap ku gagahi jua untuk menaip cerita ini agar kalian dapat ambil ibrah dan ambil langkah berjaga-jaga dan bijak menangani situasi tersebut. 

                Khamis malam terpaksa balik ke Johor. Jumaat petang ada interview. Petang tu juga naik bas ke Larkin. Malam tu terus balik Terengganu. Alhamdulillah ‘ala kulli hal… Allah beri kekuatan luarbiasa untuk menghadapi situasi yang sangat “hectic” ini.

                Ceritanya bermula begini. Aku sampai di stesen bas MBKT jam 6.45 pagi. Alhamdulillah, Allah beri kesempatan untuk berehat buat seketika, untuk mengecas kembali tenaga yang kian lemah. Allah juga beri kesempatan untuk bersarapan pagi di situ. Usai bersarapan, aku menggalas beg ke tempat duduk menunggu bas. Tunggu punya tunggu punya tunggu, bas Cas Ligas (bas kayu) tak sampai-sampai. Mematung la aku di situ sampai jam 10 pagi. Sepanjang aku mematung tu, tiba2 di sebelahku ada seorang hamba Allah duduk di situ. Seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an. Bertudung, berblaus dan berseluar panjang. Aku tidak terlintas untuk bertanyakan namanya. Dia mula beramah mesra denganku. Bertanya pelbagai soalan, gayanya seperti tiada niat apa-apa.

                Pada mulanya, gatal mulutku bertanya dia dari mana. Dari situ la bermula cerita dia berjalan kaki dari hospital. Berjalan kaki? Oh.. Tidak mengapa.. Aku sedang mentarbiyah hatiku agar berbaik sangka. ^_^.  Katanya suaminya eksiden masuk hospital. Dari hospital Kemaman transfer ke Hospital Kuala Terengganu. Aku mengiyakan sahaja. Tanda aku hormat dia sebagai orang yang lebih tua. Tapi wajahnya seperti pernah ku lihat. Tapi di mana ye? Dia meneruskan ceritanya. Dia naik bas dari Kemaman. Katanya, kereta x muat. Mak dia & adik beradik dia naik kereta. Dia naik bas. Katanya… Bukan aku yang kata. Aku hanya mengangguk. Masuk pulak cerita katanya anaknya ada 3 orang. 2 kembar. Tapi yang kembar lagi seorang meninggal. Eksiden katanya…

                Tiba2… dengan wajah yang tenang, dia memberitahuku bahawa dompetnya tertinggal. Lagaknya seperti sudah biasa tertinggal dompet(sinis x? huhu). Sepanjang dia menceritakn kisahnya sehingga kisah tertinggal dompet dan tak tahu nak balik macam mana dengan riak wajah yang tenang pada ketika itu, aku hanya mampu mengukir senyuman untuknya. Aku memberitahunya. “Kak, dalam kocek baju saya  hanya ada RM 2 sahaja. Tinggal untuk tambang. Jadi, saya tidak dapat bantu akak. InsyaAllah, ade jalan keluarnya nanti(sambil aku tersenyum)”. Riak wajahnya seraya bertukar lain.

                Setelah senyap beberapa ketika, aku cuba mengumpannya dengan mengajaknya berbual hal lain. Dia menjawab seperti acuh tak acuh. Responnya hambar. Tidak seramah seperti mula-mula tadi(Nampak tak permainan dia? Haha). Tidak lama kemudian, dia meminta diri. Membawa diri ke tempat lain agaknya. Aku iringi pemergiannya dengan senyuman.

                Persoalan. Adakah dia berbohong?

                Jawapanku, iya. Dia berbohong, Kenapa dengan beraninya aku mengatakan yang wanita itu berbohong? Untuk pengetahuan pembaca, ada di antara butir bicaranya yang bercelaru. Sekejap kata lain. Sekejap lagi kata lain. Aku tidak memaparkannya di sini sebab terlalu banyak kata2nya yang bercelaru. Salah satunya, logik ke orang Terengganu jalan kaki dari hospital ke stesen bas MBKT tanpa ada peluh di wajahnya? Tenang sahaja riak mukanya.. Masih berbedak. Baju pun tidak basah dengan peluh. Matahari sudah mulai terim pada ketika itu. Padahal dia ada menyebut, dia tunggu di perhentian bas depan hospital. Boleh saja naik bas kayu ke stesen bas MBKT. Barangkali dia fikir aku orang Johor tidak tahu selok belok jalan di sekitar Kuala Terengganu. Sebab tu dia berani putar belit cerita. Aku sudah cuba bersangka baik. Tetapi, butir bicaranya yang terlalu mengelirukan itu menguatkan lagi syak wasangka aku pada dia. Dan seperkara lagi. Dia adalah orang yang sama meminta duit padaku di pasaraya MYDIN 2 tahun yang lalu dengan alasan yang sama! TERTINGGAL BEG DOMPET! Adakah aku bersalah dan berdosa kerana meletakkan syak wasangka aku padanya?

                Persoalan. Adakah aku berbohong?

                Jawapanku, tidak. Aku tidak berbohong. Aku hanya bermuslihat. Aku hanya menceritakan perihal duitku di dalam kocek. Aku tidak menyentuh langsung perihal duitku di dalam dompet yang aku letakkan di dalam beg galas belakang. Dia seorang yang sihat tubuh badan. Umur baru 30-an. Boleh sahaja mencari kerja lain yang lebih mulia. Aku tidak pasti, sama ada taktik berbohong ini dilakukannya sendiri atau ada sindiket yang mengendalikan orang-orang tertentu untuk meminta duit pada orang awam dengan cara itu. Cukup sekali aku tertipu 2 tahun yang lalu. Aku dengan lurusnya memberikan duit itu kepadanya. Tidak mengapalah. Aku halalkan duit 2 tahun yang lepas.

                Sungguh. Aku cinta dan kasih padanya sebagai saudara seagama. Sebab tu aku tak beri duit padanya, dengan harapan agar terdetik di hatinya bibit2 kesedaran. Agar dia tidak terus menerus melakukan dosa itu. Agar dia berhenti menipu orang awam yang lain. Aku sangat berharap agar orang awam yang bertemu dengannya bertindak bijak dengan memberikan pelbagai alasan untuk mengelak daripada menyerahkan wang kepada wanita itu. Boleh saja nak beri, tapi bila kamu memberi wang kepadanya dengan niat membantu, sama sahaja dengan kamu menggalakkan dia melakukan kerja mudah nak dapat duit itu. Muslim yang baik perlu bekerja selagi kudrat 4 kerat masih mampu untuk membanting tulang mencari rezeki. Boleh nak bersedekah. Ramai lagi peminta sedekah di Terengganu ini yang tiada kaki, buta, tiada tangan, tua, anak yatim pun ada. Kalau si buta di pasar malam hari selasa di Gong Badak boleh menjual tisu, kenapa wanita yang sihat wal afiat itu tidak boleh bekerja?

                Memang benar, Islam mengajarkan penganutnya agar berbaik sangka. Tetapi, perlu ada sedikit curiga sebagai langkah berjaga-jaga. Nak bersangka baik perlu kena pada tempatnya. Begitu juga dengan curiga. Perlu kena pada tempatnya. Aku amat berharap agar para pembaca dapat mengambil pengajaran daripada pengalamanku ini. Hadapilah situasi itu dengan penuh berhikmah. Perlunya hikmah dalam hal ini, kerana aku perlu menjaga air muka wanita itu. Tidak tergamak aku untuk memalukannya. Islam pun tidak mengajarkan penganutnya agar memalukan orang lain. Mak aku pun tak ajar ok. Jadi, suasana bermasyarakat merupakan medium yang paling sesuai untuk kita mempraktikkan kaedah dakwah dan nilai-nilai murni yang kita pelajari dalam bentuk teori. Bawa-bawalah diri turun ke dalam masyarakat. Dari situ, kita akan belajar mengenal orang, mengenal diri dan mengenal Allah SWT.  Jangan biarkan kita jadi seperti pohon yang tak berbuah. Ada ilmu, tapi tak diamalkan. Tak dipratikkan.

                   Harapanku, moga hati wanita itu terdetik untuk berubah.. Moga Allah juga meredhai tindakanku. Niatku hanya satu, aku tidak mahu wanita seperti itu terus-terusan menipu orang lain. Berubahlah kak. Masih ada masa lagi ni. Moga Allah sentiasa meniupkan ruh hidayah dan keinsafan ke dalam hatimu. Ameen..

Wallahu a’lam.

Coretan kala dinihari,

Sundus El-Jauhari


2 comments:

  1. Assalammualaikum anakda sundus,
    Mantap penyampaian ini, anda berjaya membuat pembaca berfikir dan berhati-hati di realiti... Teruskan lagi dengan usaha lebih gigih dan ikhlas.

    *lebih indah dan selesa mata dengan pilihan huruf-huruf yang tipis sedikit/e.g roman

    ReplyDelete
  2. alaikumussalam wa rahmatullah...
    trme kasih ummu anas di atas komentarnya.. byk lagi yang perlu diperbaiki..mohon bimbingan yang berterusan darimu...

    *insyaAllah.. akan ditukar font tulisan sesegera mungkin... =)

    ReplyDelete