Bismillahirrahmanirrahim….
Lokasi : Stesen Bas MBKT(Majlis Bandaraya Kuala Terengganu)
Tarikh : 29 Jun 2013
Masa : 9.00 pagi
Assalamualaikum….
Apa khabar para pembaca semua? Moga kalian
senantiasa berada dalam lingkungan rahmat & kasih sayang Allah. Di sini
ingin ku kongsikan sedikit pengalaman berkenaan kes tipu menipu dalam kalangan
umat Islam itu sendiri! (Serius ni).. Walau bagaimana pun, entri pada kali ini
masih tidak lari dari konteks cinta. Cinta itu definisinya sangat luas. Pada
kali ini, ingin ku sentuh tentang cinta terhadap saudara muslim yang lain.
Penatku belum hilang lagi, tapi tetap ku gagahi jua untuk menaip cerita ini
agar kalian dapat ambil ibrah dan ambil langkah berjaga-jaga dan bijak
menangani situasi tersebut.
Khamis malam terpaksa balik ke Johor. Jumaat petang
ada interview. Petang tu juga naik bas ke Larkin. Malam tu terus balik
Terengganu. Alhamdulillah ‘ala kulli hal… Allah beri kekuatan luarbiasa untuk
menghadapi situasi yang sangat “hectic” ini.
Ceritanya
bermula begini. Aku sampai di stesen bas MBKT jam 6.45 pagi. Alhamdulillah, Allah
beri kesempatan untuk berehat buat seketika, untuk mengecas kembali tenaga yang
kian lemah. Allah juga beri kesempatan untuk bersarapan pagi di situ. Usai
bersarapan, aku menggalas beg ke tempat duduk menunggu bas. Tunggu punya tunggu
punya tunggu, bas Cas Ligas (bas kayu) tak sampai-sampai. Mematung la aku di
situ sampai jam 10 pagi. Sepanjang aku mematung tu, tiba2 di sebelahku ada
seorang hamba Allah duduk di situ. Seorang wanita berusia dalam lingkungan
30-an. Bertudung, berblaus dan berseluar panjang. Aku tidak terlintas untuk
bertanyakan namanya. Dia mula beramah mesra denganku. Bertanya pelbagai soalan,
gayanya seperti tiada niat apa-apa.
Pada mulanya,
gatal mulutku bertanya dia dari mana. Dari situ la bermula cerita dia berjalan
kaki dari hospital. Berjalan kaki? Oh.. Tidak mengapa.. Aku sedang mentarbiyah
hatiku agar berbaik sangka. ^_^. Katanya
suaminya eksiden masuk hospital. Dari hospital Kemaman transfer ke Hospital
Kuala Terengganu. Aku mengiyakan sahaja. Tanda aku hormat dia sebagai orang
yang lebih tua. Tapi wajahnya seperti pernah ku lihat. Tapi di mana ye? Dia
meneruskan ceritanya. Dia naik bas dari Kemaman. Katanya, kereta x muat. Mak dia
& adik beradik dia naik kereta. Dia naik bas. Katanya… Bukan aku yang kata.
Aku hanya mengangguk. Masuk pulak cerita katanya anaknya ada 3 orang. 2 kembar.
Tapi yang kembar lagi seorang meninggal. Eksiden katanya…
Tiba2…
dengan wajah yang tenang, dia memberitahuku bahawa dompetnya tertinggal. Lagaknya
seperti sudah biasa tertinggal dompet(sinis x? huhu). Sepanjang dia menceritakn
kisahnya sehingga kisah tertinggal dompet dan tak tahu nak balik macam mana
dengan riak wajah yang tenang pada ketika itu, aku hanya mampu mengukir
senyuman untuknya. Aku memberitahunya. “Kak, dalam kocek baju saya hanya ada RM 2 sahaja. Tinggal untuk tambang.
Jadi, saya tidak dapat bantu akak. InsyaAllah, ade jalan keluarnya nanti(sambil
aku tersenyum)”. Riak wajahnya seraya bertukar lain.
Setelah
senyap beberapa ketika, aku cuba mengumpannya dengan mengajaknya berbual hal
lain. Dia menjawab seperti acuh tak acuh. Responnya hambar. Tidak seramah
seperti mula-mula tadi(Nampak tak permainan dia? Haha). Tidak lama kemudian,
dia meminta diri. Membawa diri ke tempat lain agaknya. Aku iringi pemergiannya
dengan senyuman.
Persoalan.
Adakah dia berbohong?
Jawapanku,
iya. Dia berbohong, Kenapa dengan beraninya aku mengatakan yang wanita itu
berbohong? Untuk pengetahuan pembaca, ada di antara butir bicaranya yang
bercelaru. Sekejap kata lain. Sekejap lagi kata lain. Aku tidak memaparkannya
di sini sebab terlalu banyak kata2nya yang bercelaru. Salah satunya, logik ke
orang Terengganu jalan kaki dari hospital ke stesen bas MBKT tanpa ada peluh di
wajahnya? Tenang sahaja riak mukanya.. Masih berbedak. Baju pun tidak basah
dengan peluh. Matahari sudah mulai terim pada ketika itu. Padahal dia ada
menyebut, dia tunggu di perhentian bas depan hospital. Boleh saja naik bas kayu
ke stesen bas MBKT. Barangkali dia fikir aku orang Johor tidak tahu selok belok
jalan di sekitar Kuala Terengganu. Sebab tu dia berani putar belit cerita. Aku
sudah cuba bersangka baik. Tetapi, butir bicaranya yang terlalu mengelirukan
itu menguatkan lagi syak wasangka aku pada dia. Dan seperkara lagi. Dia adalah
orang yang sama meminta duit padaku di pasaraya MYDIN 2 tahun yang lalu dengan
alasan yang sama! TERTINGGAL BEG DOMPET! Adakah aku bersalah dan berdosa kerana
meletakkan syak wasangka aku padanya?
Persoalan.
Adakah aku berbohong?
Jawapanku,
tidak. Aku tidak berbohong. Aku hanya bermuslihat. Aku hanya menceritakan perihal
duitku di dalam kocek. Aku tidak menyentuh langsung perihal duitku di dalam
dompet yang aku letakkan di dalam beg galas belakang. Dia seorang yang sihat tubuh
badan. Umur baru 30-an. Boleh sahaja mencari kerja lain yang lebih mulia. Aku
tidak pasti, sama ada taktik berbohong ini dilakukannya sendiri atau ada
sindiket yang mengendalikan orang-orang tertentu untuk meminta duit pada orang
awam dengan cara itu. Cukup sekali aku tertipu 2 tahun yang lalu. Aku dengan
lurusnya memberikan duit itu kepadanya. Tidak mengapalah. Aku halalkan duit 2
tahun yang lepas.
Sungguh.
Aku cinta dan kasih padanya sebagai saudara seagama. Sebab tu aku tak beri duit
padanya, dengan harapan agar terdetik di hatinya bibit2 kesedaran. Agar dia
tidak terus menerus melakukan dosa itu. Agar dia berhenti menipu orang awam
yang lain. Aku sangat berharap agar orang awam yang bertemu dengannya bertindak
bijak dengan memberikan pelbagai alasan untuk mengelak daripada menyerahkan
wang kepada wanita itu. Boleh saja nak beri, tapi bila kamu memberi wang
kepadanya dengan niat membantu, sama sahaja dengan kamu menggalakkan dia
melakukan kerja mudah nak dapat duit itu. Muslim yang baik perlu bekerja selagi
kudrat 4 kerat masih mampu untuk membanting tulang mencari rezeki. Boleh nak
bersedekah. Ramai lagi peminta sedekah di Terengganu ini yang tiada kaki, buta,
tiada tangan, tua, anak yatim pun ada. Kalau si buta di pasar malam hari selasa
di Gong Badak boleh menjual tisu, kenapa wanita yang sihat wal afiat itu tidak
boleh bekerja?
Memang
benar, Islam mengajarkan penganutnya agar berbaik sangka. Tetapi, perlu ada
sedikit curiga sebagai langkah berjaga-jaga. Nak bersangka baik perlu kena pada
tempatnya. Begitu juga dengan curiga. Perlu kena pada tempatnya. Aku amat
berharap agar para pembaca dapat mengambil pengajaran daripada pengalamanku
ini. Hadapilah situasi itu dengan penuh berhikmah. Perlunya hikmah dalam hal
ini, kerana aku perlu menjaga air muka wanita itu. Tidak tergamak aku untuk
memalukannya. Islam pun tidak mengajarkan penganutnya agar memalukan orang
lain. Mak aku pun tak ajar ok. Jadi, suasana bermasyarakat merupakan medium
yang paling sesuai untuk kita mempraktikkan kaedah dakwah dan nilai-nilai murni
yang kita pelajari dalam bentuk teori. Bawa-bawalah diri turun ke dalam
masyarakat. Dari situ, kita akan belajar mengenal orang, mengenal diri dan
mengenal Allah SWT. Jangan biarkan kita
jadi seperti pohon yang tak berbuah. Ada ilmu, tapi tak diamalkan. Tak
dipratikkan.
Harapanku, moga hati wanita itu terdetik untuk berubah.. Moga Allah juga meredhai tindakanku. Niatku hanya satu, aku tidak mahu wanita seperti itu terus-terusan menipu orang lain. Berubahlah kak. Masih ada masa lagi ni. Moga Allah sentiasa meniupkan ruh hidayah dan keinsafan ke dalam hatimu. Ameen..
Wallahu a’lam.
Coretan kala dinihari,
Sundus El-Jauhari