create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!
widgets

Wednesday, January 19, 2011

5 SYARAT NAK BUAT MAKSIAT......


Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat." Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat." Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"

Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"

"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya! Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?"

"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.

Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?"

"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"

"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah." katanya sambil terisak-isak.




Sundus Al-Jauhari


Saturday, January 15, 2011

UMAT ISLAM SEMAKIN DICABAR DAN TERCABAR!!!

by Harakah Muda on Friday, January 14, 2011 at 4:42pm
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) merasa kesal dan kecewa dengan tindakan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang tunduk kepada permintaan seorang ahli MCA yang mahukan suara azan di Masjid Al Ikhlasiah, Pantai Dalam diperlahankan. Apakah malang bagi sebuah negara Malaysia yang majoritinya beragama Islam apabila Perdana Menterinya tidak mempunyai wibawa dan ketegasan bagi membela syiar dan syariat Islam. 
 Umat Islam seluruhnya juga merasa terpukul dengan arahan ini yang menganggap ia adalah satu penghinaan terhadap agama Islam yang menjadi agama rasmi negara ini. DPPWP dan umat Islam tidak boleh menerima hakikat arahan ini, kerana azan adalah kaedah dakwah Islam kepada masyarakat bukan Islam bagi mengajak mereka terhadap keindahan Islam. Azan juga adalah sebagai seruan kepada umat Islam agar menjaga ibadah dan seterusnya mengimarahkan masjid. 
 Sejak zaman Rasulullah SAW lagi, azan telah menjadi suatu syiar kepada umat Islam. Ia perlu dikumandangkan untuk didengari oleh seluruh manusia. Bahkan Nabi SAW mengarahkan azan agar dilaungkan dengan kuat sebagai menandakan masuknya waktu Solat.
 Bagi kaum bukan Islam, azan tidak boleh dipertikaikan kerana ia adalah syiar Islam. Sama seperti agama Kristian dan Hindu yang membunyikan loceng tatkala waktunya, kaum Tionghua yang membakar mercun pada masanya, bagi umat Islam azan adalah kaedah bagi menandakan masuk waktu bersembahyang.
 DPPWP difahamkan individu yang membantah azan di Masjid Ikhlasiah, Pantai Dalam adalah seorang ahli MCA seumur hidup. Beliau telah menulis surat kepada Perdana Menteri meminta suara azan di masijd tersebut diperlahankan. Dalam hal ini, DPPWP mempersoalkan apakah Perdana Menteri dan JAWI tunduk kepada tekanan ini hanya kerana beliau seorang ahli parti komponen BN? Isu ini membuktikan bahawa UMNO bukanlah parti yang mampu membela dan mempertahankan Islam, kerana mereka sendiri terpaksa akur dengan tuntutan ahli-ahli parti komponennya.      
 DPPWP difahamkan juga bahawa kawasan sekitar Pantai Dalam adalah kawasan yang dihuni oleh ramai orang Melayu beragama Islam. Saban hari dan tahun penghuni sekitar tidak menghadapi masalah dengan laungan azan di masjid tersebut, tetapi mengapa hanya dengan satu aduan daripada seorang ahli MCA tiba-tiba pihak JAWI dengan serta merta mengarahkan azan diperlahankan?
DPPWP mengingatkan Perdana Menteri bahawa tindakan ini boleh merendahkan maruah Islam dan umatnya. Bagaimanakah nanti selepas ini jika pelbagai aduan diajukan terhadap mana-mana masjid agar laungan azan diperlahankan atau mungkin ditiadakan, adakah Perdana Menteri dan JAWI akan tunduk terhadap aduan mereka? DPPWP bimbang sekiranya berlaku nanti ada masjid terpaksa dibuang pembesar suara kerana dianggap mengganggu penduduk sekitar dan pihak kerajaan melayan tuntutan mereka.



Wednesday, January 5, 2011

KERANA AKU WANITA.......

kerana aku wanita
pandangan Adam mampu tembus ke dasar hatiku

kerana aku wanita
ingin disayangi itu fitrah diriku...

kerana aku wanita
mudah terpikat dengan keindahan akhlak seorang lelaki

kerana aku wanita
emosiku selalu mengatasi logik akalku

kerana aku wanita 
air mata teman setiaku

kerana aku wanita
sensitivitiku terhadap sesuatu amat tinggi

DAN..

kerana aku wanita 
aku damba pertolongan darimu Adam

peliharalah bicaramu denganku
jangan bermain kata denganku
takut rosak hatiku

kerana aku wanita
akhlakmu ukuran dimataku

peliharalah akhlakmu dan imanmu
jangan kau burukkan darjatmu pada mataku
takut rosak thiqahmu

kerana aku wanita
maka peliharalah susunan kata-katamu

kerana aku mudah terasa
namun aku bukan lemah
sekadar ingin kau tahu hati ini mudah tercalar

kerana aku wanita
peliharalah dirimu dari mencemuhku

saat titisan jernih mengalir dari mataku
kerana itu cara untukku
meluahkan perasaanku
supaya hatiku tenang kembali

kerana aku wanita
aku memang sangat peka

maka fahamilah kecerewetanku ada sebabnya

WAHAI ADAM,

kalau kau sangka berpakaian selekeh itu 'cool',
hakikatnya kau begitu jelek pada pandangan kami.

andai kau rasa 'usha' itu tanda kejantanan,
darjat mu telah jatuh pada pandangan kami

jika kau fikir hidup membelakangkan agama itu kemodenan,
maka tiada lagi hormat untukmu dari kami.




Sundus Al-jauhari