create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!
widgets

Wednesday, July 24, 2013

Lelah Sang Murabbi

Sayu hati ini..
Saat terlihat lelahnya Sang Murabbi...
Kulihat semakin lemah langkahnya...
Namun..
Tetap jua mereka gagahi...
Demi memastikan anak-anak, pemuda pemudi mendapat suntikan tarbiyah hati...

Sayu hati ini...
Saat terlintas di lubuk hati...
Sudah tiba masanya tugas mereka digalas pemuda pemudi...
Mereka semakin tua... semakin dimamah usia...
Sedang pemuda kian gagah saban waktu, saban ketika....

Bangkitlah wahai pemuda....
Jangan biarkan hatimu terbuai cinta nafsu dunia.....
Jangan biarkan dirimu hanyut dengan arus dunia yang fana.....
Jangan biarkan jiwamu layu dimamah godaan dunia...
Jangan persiakan gagahmu...
Kerana dirimu begitu berharga buat ummah tercinta....

Gugahlah hatimu wahai pemuda..
Bina cinta Illahi di dalam jiwa....
Agar hatimu dapat melihat kelelahan mereka....
Walau lelah itu tidak mereka ungkap dengan kata-kata....

Jadilah seperti arang..
Yang menambahkan lagi semarak api....
Jadilah pemuda gagah lagi perkasa...
Yang menyemarakkan lagi perjuangan para Murabbi....

Ayuh pemuda pemudi..
Gencarkan langkah perjuanganmu ke medan jihad...
Jihad menjadi penyelamat kepada umat....
Lihatlah dengan mata hatimu...
Kondisi dunia yang semakin membarah....
Kebejatan yang kian parah...
Usah ditambah kebobrokan yang mencalar wajah!

Bangunlah wahai hati-hati yang berjiwa Murabbi...
Waqafkan dirimu ke medan juang...
Menjadi penyelamat dirimu dan umat dunia...
Dari keserakahan nafsu durjana dan azab neraka...
Kita adalah rantai perjuangan para Murabbi...
Penerus juga pewaris sunnah Nabi...

Nukilan Nafsi,
-Sundus El-Jauhari-


Tuesday, July 23, 2013

Ramadhan : Medan Merajut Cinta

Ramadhan..
Medan merajut cinta Sang Pemilik Cinta..
Kau disambut Sang manusia perindu syurga….
Hadirmu meronai setiap inci ruang hidup mereka…
Takkan sekali-kali mereka melepaskan peluang..
Peluang meraih gugusan-gugusan pahala…
Yang bertebaran di mana-mana..
Saban hari.. saban waktu..
Tiap masa dan ketika….

Ramadhan…
Hadirmu umpama cahaya…
Bersinar menerangi  relung hati manusia…
Manusia yang memiliki iman yang terpahat kukuh di wajah atma…

Ramadhan..
Engkau sungguh istimewa..
Kalam Tuhan diturunkan saat engkau menjadi tetamu warga dunia…
Engkau menjadi medan tarbiyah jiwa…
Tarbiyah bagi jiwa-jiwa yang ketandusan iman dan taqwa…

Ramadhan..
Kehadiranmu membawa bingkisan cinta dan kasih-Nya…
Ganjaran pahala dilipat ganda..
Mehnah lapar dan dahaga menjadi manis akhirnya…
Tingkah mazmumah ditepis sedaya upaya…
Berkat kesabaran mendidik nafsu menggila…

Ramadhan…
Andai tiba waktu engkau pergi…
Gundahnya hati tak dapat digambar di alam realiti..
Hanya jiwa perindu Illahi yang mengerti…
Betapa perpisahan denganmu suatu yang menghiris hati…

Ramadhan…
Masihkah ada engkau untukku?
Masihkah engkau sudi menjadi tetamu jiwaku di kemudian waktu?
Betapa hati ini berat untuk melepaskanmu..
Memori yang tercipta mengamit rindu dan cintaku padamu…
Engkau menjadi asbab aku akrab dengan Rabb-ku….

Ramadhan…
Harapanku…
Moga aku masih punya kesempatan untuk menjadi penyambutmu…
Moga engkau masih sudi menjadi tetamuku…
Moga engkau masih sudi mengukir senyummu yang indah itu…
Moga cintaku padamu sentiasa mekar..

Seperti mekarnya cintaku terhadap Rabb-ku…


Bingkisan dari hati,
-Sundus El-Jauhari-


Sunday, June 30, 2013

Perlunya Sedikit Curiga Dalam Berbaik Sangka

Bismillahirrahmanirrahim….

Lokasi : Stesen Bas MBKT(Majlis Bandaraya Kuala Terengganu)
Tarikh : 29 Jun 2013 
Masa : 9.00 pagi

Assalamualaikum…. 

Apa khabar para pembaca semua? Moga kalian senantiasa berada dalam lingkungan rahmat & kasih sayang Allah. Di sini ingin ku kongsikan sedikit pengalaman berkenaan kes tipu menipu dalam kalangan umat Islam itu sendiri! (Serius ni).. Walau bagaimana pun, entri pada kali ini masih tidak lari dari konteks cinta. Cinta itu definisinya sangat luas. Pada kali ini, ingin ku sentuh tentang cinta terhadap saudara muslim yang lain. Penatku belum hilang lagi, tapi tetap ku gagahi jua untuk menaip cerita ini agar kalian dapat ambil ibrah dan ambil langkah berjaga-jaga dan bijak menangani situasi tersebut. 

                Khamis malam terpaksa balik ke Johor. Jumaat petang ada interview. Petang tu juga naik bas ke Larkin. Malam tu terus balik Terengganu. Alhamdulillah ‘ala kulli hal… Allah beri kekuatan luarbiasa untuk menghadapi situasi yang sangat “hectic” ini.

                Ceritanya bermula begini. Aku sampai di stesen bas MBKT jam 6.45 pagi. Alhamdulillah, Allah beri kesempatan untuk berehat buat seketika, untuk mengecas kembali tenaga yang kian lemah. Allah juga beri kesempatan untuk bersarapan pagi di situ. Usai bersarapan, aku menggalas beg ke tempat duduk menunggu bas. Tunggu punya tunggu punya tunggu, bas Cas Ligas (bas kayu) tak sampai-sampai. Mematung la aku di situ sampai jam 10 pagi. Sepanjang aku mematung tu, tiba2 di sebelahku ada seorang hamba Allah duduk di situ. Seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an. Bertudung, berblaus dan berseluar panjang. Aku tidak terlintas untuk bertanyakan namanya. Dia mula beramah mesra denganku. Bertanya pelbagai soalan, gayanya seperti tiada niat apa-apa.

                Pada mulanya, gatal mulutku bertanya dia dari mana. Dari situ la bermula cerita dia berjalan kaki dari hospital. Berjalan kaki? Oh.. Tidak mengapa.. Aku sedang mentarbiyah hatiku agar berbaik sangka. ^_^.  Katanya suaminya eksiden masuk hospital. Dari hospital Kemaman transfer ke Hospital Kuala Terengganu. Aku mengiyakan sahaja. Tanda aku hormat dia sebagai orang yang lebih tua. Tapi wajahnya seperti pernah ku lihat. Tapi di mana ye? Dia meneruskan ceritanya. Dia naik bas dari Kemaman. Katanya, kereta x muat. Mak dia & adik beradik dia naik kereta. Dia naik bas. Katanya… Bukan aku yang kata. Aku hanya mengangguk. Masuk pulak cerita katanya anaknya ada 3 orang. 2 kembar. Tapi yang kembar lagi seorang meninggal. Eksiden katanya…

                Tiba2… dengan wajah yang tenang, dia memberitahuku bahawa dompetnya tertinggal. Lagaknya seperti sudah biasa tertinggal dompet(sinis x? huhu). Sepanjang dia menceritakn kisahnya sehingga kisah tertinggal dompet dan tak tahu nak balik macam mana dengan riak wajah yang tenang pada ketika itu, aku hanya mampu mengukir senyuman untuknya. Aku memberitahunya. “Kak, dalam kocek baju saya  hanya ada RM 2 sahaja. Tinggal untuk tambang. Jadi, saya tidak dapat bantu akak. InsyaAllah, ade jalan keluarnya nanti(sambil aku tersenyum)”. Riak wajahnya seraya bertukar lain.

                Setelah senyap beberapa ketika, aku cuba mengumpannya dengan mengajaknya berbual hal lain. Dia menjawab seperti acuh tak acuh. Responnya hambar. Tidak seramah seperti mula-mula tadi(Nampak tak permainan dia? Haha). Tidak lama kemudian, dia meminta diri. Membawa diri ke tempat lain agaknya. Aku iringi pemergiannya dengan senyuman.

                Persoalan. Adakah dia berbohong?

                Jawapanku, iya. Dia berbohong, Kenapa dengan beraninya aku mengatakan yang wanita itu berbohong? Untuk pengetahuan pembaca, ada di antara butir bicaranya yang bercelaru. Sekejap kata lain. Sekejap lagi kata lain. Aku tidak memaparkannya di sini sebab terlalu banyak kata2nya yang bercelaru. Salah satunya, logik ke orang Terengganu jalan kaki dari hospital ke stesen bas MBKT tanpa ada peluh di wajahnya? Tenang sahaja riak mukanya.. Masih berbedak. Baju pun tidak basah dengan peluh. Matahari sudah mulai terim pada ketika itu. Padahal dia ada menyebut, dia tunggu di perhentian bas depan hospital. Boleh saja naik bas kayu ke stesen bas MBKT. Barangkali dia fikir aku orang Johor tidak tahu selok belok jalan di sekitar Kuala Terengganu. Sebab tu dia berani putar belit cerita. Aku sudah cuba bersangka baik. Tetapi, butir bicaranya yang terlalu mengelirukan itu menguatkan lagi syak wasangka aku pada dia. Dan seperkara lagi. Dia adalah orang yang sama meminta duit padaku di pasaraya MYDIN 2 tahun yang lalu dengan alasan yang sama! TERTINGGAL BEG DOMPET! Adakah aku bersalah dan berdosa kerana meletakkan syak wasangka aku padanya?

                Persoalan. Adakah aku berbohong?

                Jawapanku, tidak. Aku tidak berbohong. Aku hanya bermuslihat. Aku hanya menceritakan perihal duitku di dalam kocek. Aku tidak menyentuh langsung perihal duitku di dalam dompet yang aku letakkan di dalam beg galas belakang. Dia seorang yang sihat tubuh badan. Umur baru 30-an. Boleh sahaja mencari kerja lain yang lebih mulia. Aku tidak pasti, sama ada taktik berbohong ini dilakukannya sendiri atau ada sindiket yang mengendalikan orang-orang tertentu untuk meminta duit pada orang awam dengan cara itu. Cukup sekali aku tertipu 2 tahun yang lalu. Aku dengan lurusnya memberikan duit itu kepadanya. Tidak mengapalah. Aku halalkan duit 2 tahun yang lepas.

                Sungguh. Aku cinta dan kasih padanya sebagai saudara seagama. Sebab tu aku tak beri duit padanya, dengan harapan agar terdetik di hatinya bibit2 kesedaran. Agar dia tidak terus menerus melakukan dosa itu. Agar dia berhenti menipu orang awam yang lain. Aku sangat berharap agar orang awam yang bertemu dengannya bertindak bijak dengan memberikan pelbagai alasan untuk mengelak daripada menyerahkan wang kepada wanita itu. Boleh saja nak beri, tapi bila kamu memberi wang kepadanya dengan niat membantu, sama sahaja dengan kamu menggalakkan dia melakukan kerja mudah nak dapat duit itu. Muslim yang baik perlu bekerja selagi kudrat 4 kerat masih mampu untuk membanting tulang mencari rezeki. Boleh nak bersedekah. Ramai lagi peminta sedekah di Terengganu ini yang tiada kaki, buta, tiada tangan, tua, anak yatim pun ada. Kalau si buta di pasar malam hari selasa di Gong Badak boleh menjual tisu, kenapa wanita yang sihat wal afiat itu tidak boleh bekerja?

                Memang benar, Islam mengajarkan penganutnya agar berbaik sangka. Tetapi, perlu ada sedikit curiga sebagai langkah berjaga-jaga. Nak bersangka baik perlu kena pada tempatnya. Begitu juga dengan curiga. Perlu kena pada tempatnya. Aku amat berharap agar para pembaca dapat mengambil pengajaran daripada pengalamanku ini. Hadapilah situasi itu dengan penuh berhikmah. Perlunya hikmah dalam hal ini, kerana aku perlu menjaga air muka wanita itu. Tidak tergamak aku untuk memalukannya. Islam pun tidak mengajarkan penganutnya agar memalukan orang lain. Mak aku pun tak ajar ok. Jadi, suasana bermasyarakat merupakan medium yang paling sesuai untuk kita mempraktikkan kaedah dakwah dan nilai-nilai murni yang kita pelajari dalam bentuk teori. Bawa-bawalah diri turun ke dalam masyarakat. Dari situ, kita akan belajar mengenal orang, mengenal diri dan mengenal Allah SWT.  Jangan biarkan kita jadi seperti pohon yang tak berbuah. Ada ilmu, tapi tak diamalkan. Tak dipratikkan.

                   Harapanku, moga hati wanita itu terdetik untuk berubah.. Moga Allah juga meredhai tindakanku. Niatku hanya satu, aku tidak mahu wanita seperti itu terus-terusan menipu orang lain. Berubahlah kak. Masih ada masa lagi ni. Moga Allah sentiasa meniupkan ruh hidayah dan keinsafan ke dalam hatimu. Ameen..

Wallahu a’lam.

Coretan kala dinihari,

Sundus El-Jauhari


Thursday, June 6, 2013

Bercintakah kita ini?

Bercintakah kita ini?
Sungguh!
hati ini dapat merasakan cintamu,
Walau tidak kau zahirkan dengan kata bermadah pujangga.

Bercintakah kita ini?
Sungguh!
Tiada sedikit pun ragu di hatiku,
Untuk memilih dirimu sebagai calon pasangan hidupku.

Bercintakah kita ini?
Sungguh!
Perasaan ini membuatkan aku lebih akrab dengan Rabb ku.
Saat teringat akan dirimu,
Hati ini terus dihunjam pilu, 
lalu aku mencari Rabb ku untuk mengadu.

Bercintakah kita ini?
Jawapanku,
Ya, kita memang bercinta…
walau tidak pernah kau ungkap dengan kata2,
Cukup dengan tingkahmu yang menzahirkan badai atma,
Aku hanya mampu berdoa,
Agar Allah menyatukan kita,
Kerana misi dakwah dan tarbiyah yang paling utama.

Bercintakah kita ini?
Ya, kita memang bercinta…
Tapi bukan dengan takrifan mereka,
Mereka yang bercinta mengikut acuan Barat.
Tetapi kita bercinta dengan acuan-Nya.

Hubungan kita dibatasi rasa malu,
Kerana belum ada ikatan yang sah,
Berhubung atas urusan tertentu,
Bukan atas urusan sia-sia...

Aku ingin kita sama-sama menggapai syurgaNya,
Lewat batas-batas yang kita jaga,
Kerana belum sampai waktunya, 
Untuk kita bermesra.

Bercintakah kita ini?
Ya…
Kita memang bercinta..
Bercinta menurut acuanNya,
Demi mencapai redha-Nya,
Nanti, Bila kita hidup bersama,
Kita bukan pasangan biasa-biasa,
bahkan,
kita adalah pasangan luar biasa,
yang bakal membina generasi pewaris syurga.
Kerana apa?
Kerana kita sudah mula mendidik generasi itu dengan acuanNya,
Melalui tarbiyah diri,
Dalam menjaga batas yang ada,
sentiasa perbaiki hubungan dengan-Nya.

Bercintakah kita ini?

Ya…
Kita memang sedang bercinta…
Penuh dengan garis panduan yang disediakan oleh-Nya,

Itulah acuan cinta kita & cinta-Nya.

Panjang sekali anganku...
Walaupun aku tidak pasti bagaimana perasaanmu terhadapku...
Aku hanya ingin kau tahu,
Bahawa cintaku ini umpama udara,
Yang engkau hirup saban waktu, 
Tanpa kau sedari,
dan ianya takkan pernah habis...
Takkan sekali-kali lisanku ini melafazkan cintaku padamu...
Biarlah Allah yang menjadi saksi...
Biarlah Allah yang menentukan segalanya..
Kerana hati ini yakin..
Masih ada peluang untuk diri ini hadir di dalam hatimu...
Biarlah...
Biar Dia yang menyampaikan rasa hatiku ini kepadamu,...
Kerana hati ini juga yakin...
bahawa Dia sentiasa mendengar doaku..
Saban hari , saban waktu...

Tuhan...
Aku tidak malu untuk meminta-minta kepada-Mu..
Kerana aku sedar..
Engkaulah pemilik cinta...
Pemilik segala yang dimiliki oleh manusia...
Tuhan...
Kurniakan aku cinta..
Cinta yang membawa aku kepada cinta-Mu...


Nukilan Rasa,
Sundus El-Jauhari


Saturday, May 18, 2013

PERSOALAN YANG MASIH BELUM TERJAWAB




Bismillahirrahmanirrahim…

“Hanyalah cinta-Nya yang amat ku harapkan, tiada lain yang jadi rayuan…. Namun Dia Maha Mengerti, tak mampu insan bersendiri…. Menempuh dugaan yang menguji naluri...”

Tersentap jiwa ini tatkala mendengar bait lagu Kias Cinta dendangan Suhaimi Saad. Membuatkan diri ini termenung seketika. Hati ini lantas tertanya-tanya, mengapa pedih dan duka yang ditanggung hati ini saat cinta insan menyapa. Sedang orang lain berbunga-bunga hatinya tatkala disapa cinta hatinya.

Menangis.

Membawa diri ke lokasi2 yang membuatkan kita rasa begitu akrab dengan Allah.

Itu yang berlaku.

Jatuh cinta? Adakah itu berdosa? Sudah tentu tidak. Cinta itu anugerah. Cinta itu fitrah. Paling penting, bagaimana cara untuk diurus perasaan itu agar diri tidak melakukan perkara2 yang Allah tak redha. Agar diri dan hati sentiasa dijaga dari fitnah dan bunga2 zina.

Manusia. Bisa membuat spekulasi apa sahaja. Bila mendengar seseorang jatuh cinta sewaktu masih dalam tempoh pengajian, pasti akan dicop gatal, dan sebagainya. Sedangkan Allah sudah ciptakan garis panduan yang cukup cantik dalam hal ehwal menguruskan cinta.

Diri ini juga begitu. Saat pertama kali kaki ini melangkah ke alam universiti, tidak terlintas di hati sedikitpun untuk mencari cinta di alam kampus. Niat sudah dipasang elok2. Hati senantiasa mentajdid niat untuk menggali ilmu.

Tahun pertama. Kehidupan sebagai seorang mahasiswa berjalan seperti biasa.

Tahun kedua. Sudah mula berjinak-jinak dengan dunia organisasi.

Tahun ketiga. Hati mula disapa cinta kepada seseorang yang dikagumi akhlak dan budi pekertinya. Ditambah dengan seseorang itu bergiat aktif dalam kerja-kerja dakwah dan tarbiyah. Itu merupakan satu pakej bagi seorang muslim yang mukmin. Hmm... Semakin kuat ditolak perasaan itu, semakin kuat ia mencengkam jiwa.

Mengapa sukar dibuang rasa ini, sedangkan pelbagai usaha sudah dilakukan untuk melupakan insan tersebut. Mencari cinta manusia bukan matlamat utama. Tetapi, diri ini sedar, segala2nya adalah aturan Allah. Mungkin sudah tiba masanya untuk Allah menguji diri ini dengan sapaan cinta manusia. Hanya mendekatkan diri dengan Allah sahaja penawar yang paling mujarab bagi mengisi relung hati ini dan juga untuk mengubati luka di hati ini. Nak diluah? Sungguh! belum tiba masa yang sesuai.. Jangan sembarangan luah... Jangan gopoh... Bimbang jadi salah.

Sekali lagi persoalan menerawang di minda. Kenapa hati ini berduka saat hati disapa cinta kepada si dia?

Tenang hati di saat terpandang wajahnya.

Terluka hati di saat mengenangkan perasaan cinta yang menyapa.

Aku punya matlamat.

Aku akan pastikan kerja-kerja dakwah dan tarbiyahku tidak terkandas di tengah jalan. Tidak akan aku izinkan diri ini keluar dari jemaah haraki. Tidak akan ku izinkan hati ini jauh dari cinta terhadap urusan dakwah.

Bagaimana caranya?

Salah satu cara ialah dengan memilih calon suami yang bergerak dalam dakwah dan tarbiyah. Memohon kepada Allah agar dikurniakan jodoh yang menjadikan dakwah sebagai “isteri pertama”nya. Dengan cara ini,  cita2 ingin menjadi sayap kiri perjuangan si suami dalam meneruskan perjuangan dakwah tersebut akan terlaksana. Jadikan ini sebagai matlamat dalam Baitul Muslim. Kerana ingin meraih redha Allah itu banyak cara. Dan salah satu caranya ialah dengan memilih jodoh yang bergerak kerja dalam dakwah dan tarbiyah bagi individu2 yang cintakan dunia dakwah haraki. Jangan lupa juga, sentiasalah berdoa agar ditetapkan hati dalam kerja2 dakwah. Sentiasalah berdoa agar matlamat sebenar dalam berjuang tidak terpesong sedikit pun. Ini matlamatku.

Diakah orangnya?

Sungguh! Jodoh itu rahsia Allah! Jodoh itu sesuatu yang sangat misteri.. Tiada seorang manusia pun yang tahu siapa jodoh seseorang kecuali Allah Azza Wa Jalla.

Biarlah segala amal perbuatan kita disandarkan hanya kerana Allah SWT. Tuhan yang paling layak menerima segala puji dan puja.

Adakah sudah tiba masanya untuk diri ini memikirkan tentang hal ehwal Baitul Muslim? Persoalan ini masih belum terjawab.

..................................

p/s : Hanya melihatnya dari jauh sudah cukup, demi menjaga batas yang ada. Demi menjaga hati yang sedang disapa cinta. Walaupun sakit, hati tetap harus yakin, yang Allah takkan sekali-kali pernah berlaku kejam terhadap hamba2Nya... Boleh jadi, di sebalik kesabaran yang dipupuk dan jarak yang dijaga, di sebalik doa-doa yang dipanjatkan saban hari dan saban waktu, tak mustahil individu yang menjadi perhatian itu adalah jodoh kita 1 hari nanti.


Friday, April 12, 2013

Maafkan Aku, Duhai Hati...


“Diriku dan dirinya itu umpama langit dan bumi. Bagaimana untuk aku memilikinya sedangkan aku ini hamba Allah yang serba kekurangan…. Pasti dia mahukan calon yang terbaik untuk menjadi pendampingnya, rusuk kirinya dan sayap kiri perjuangannya….”

"Bagaimana kamu tahu kamu tidak layak untuknya padahal kamu belum mencubanya? Belum cuba, kamu sendiri tidak akan tahu keputusannya bagaimana. Mungkin saja dia mahu kamu menjadi sayap kiri perjuangannya dalam melayari bahtera rumah tangga… Memang benar… Jodoh kita sudah Allah tuliskan di Lauh al-Mahfudz… Tetapi perlu kita sertakan dengan usaha yang sudah Islam gariskan…. Mana tahu, kamu adalah nama yang sudah Allah tuliskan untuknya..”

"Diri ini hanyalah hamba Allah yang serba kekurangan. Diriku bukan Siti Khadijah yang merupakan seorang wanita hebat di sisi Rasulullah…. Diriku juga tidak seperti Fatimah… Ku rasakan aku tidak layak untuk dia... Dia terlalu baik dan soleh….Barangkali dia mahukan seseorang yang solehah dan muslihah, serta dari keturunan yang baik2… "

"Jika kamu bukan Siti Khadijah atau Siti Fatimah… dia juga bukan Saidina Ali. Terlalu awal untuk berputus asa. Cubalah dahulu. Mungkin Allah masih memberimu peluang untuk menjadi sebahagian dari hidupnya…."

Cinta + kecewa.. Dua perasaan yang menyatu di dalam hati… Aku tidak meminta untuk meletakkan perasaan itu ke dalam hatiku… Aku tidak berniat untuk melukakanmu, wahai hati… Allah sudah mentaqdirkan hatiku menanggung beban cinta dan kecewa pada saat dan ketika ini untuk aku urus dengan baik dan redha perasaan itu.. Aku juga perlu berhusnu dzan dengan Allah.. Kerana aku tahu, Allah memberiku ujian ini agar aku mencari-Nya… merintih, merayu, mengadu dan menangis di hadapan-Nya… Ya.. Allah sandaran utama… Allah tempat pertama untuk mengadu kerana aku tahu, Dia adalah Tuhan yang Maha Kasih… Takkan dibiarkan aku terkapai-kapai kelemasan dalam arus cinta dan kecewa…

Bagaimana nak mengurus hati yang sedang terluka? Sedang dirimu berada dalam fatrah menuntut ilmu dan memikul tanggungjawab sebagai pemimpin, murabbi dan da’ie. Teringat kata-kata seorang ustaz, “jangan dipandang remeh solat hajat.. Banyak fadhilat solat hajat…” . Ya, mungkin dengan memperbanyakkan dan melazimi solat hajat dapat meredakan hati yang sedang diamuk badai cinta dan kecewa. Berdoalah kepada Allah, minta agar dikurniakan kelapangan dada dan ketenangan jiwa serta kejernihan hati dalam menempuh ujian yang berat dan menusuk qalbu. Soal cinta dan kecewa tidak boleh dipandang enteng.. Ianya melibatkan hati dan perasaan. Ada kalanya manusia hilang pertimbangan dan kewarasan akal fikiran dek penangan cinta dan kecewa tersebut..

Itulah bahana cinta dan kecewa. Perlukan penjagaan dan pengurusan yang rapi demi memastikan diri dan hati yang menanggung beban itu sentiasa berada dalam keadaan yang Allah redha dan tidak lari dari lunas-lunas Islam. Yakinlah wahai hati… Allah mendengar rintihanmu… Allah Maha Tahu, kenapa Dia memberimu ujian yang sebegini di saat kamu perlu menjaga dirimu… Kerana Allah mahu kamu tahu betapa sakitnya menahan rasa cinta dan kecewa terhadap manusia… Dan Allah mahu kamu tahu, betapa cinta dan kecewa itu mampu membuat kamu memahami perasaan orang lain yang sedang diamuk badai cinta dan kecewa seperti kamu!

Jangan berputus asa dengan rahmat Allah.... Yakinlah bahawa tiap-tiap kesulitan pasti ada kemudahan... Allah mengulangi ayat tersebut sebanyak dua kali di dalam surah as-syarh.. "Inna ma'a al-'usri yusraa".. Yakinlah bahawa Allah sedang menjanjikan kemanisan di kemudian hari untukmu seandainya kamu bersabar dan redha dengan ujian yang sedang kamu jalani... Wallahu A'lam.



-Coretan hati-



Saturday, February 2, 2013

MUSLIMAH!!! AWAS!! 13 AURATMU YANG WAJIB DIJAGA...


Untuk dikongsi bersama..... .......

1. Bulu kening - Menurut Bukhari, Rasullulah melaknati perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening - Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki memakai gelang berloceng - Dan janganlah mereka (perempuan) menghentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan - Petikan dari S ura h An-Nur Ayat 31. Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan/ melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng sama juga seperti pelacur dizaman jahiliyah.

3. Wangian - Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong kapal kata orang sekarang hidong belang - Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.

4. Dada - Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka - Petikan dari S ura h An-Nur Ayat 31.

5. Gigi - Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya - Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani, Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

6. Muka dan leher - Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu. Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.

7. Muka dan Tangan - Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja - Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.

8. Tangan - Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya - Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.

9. Mata - Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya - Petikan dari S ura h An Nur Ayat 31.

Sabda Nabi Muhamad SAW, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.

10. Mulut (suara) - Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik - Petikan dari S ura h Al Ahzab Ayat 32.

Sabda SAW, Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi - Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.

11. Kemaluan - Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka - Petikan dari S ura h An Nur Ayat 31.

Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya - Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.

Tiada seorang perempuanpun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.

12. Pakaian - Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, An Nasaii dan Ibn Majah.

Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud : Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah diken ali Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.

Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.

13. Rambut - Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

From ukhti Syuhada.